Wednesday 31 July 2013

31 Julai - Keputusan Peperiksaan Akhir bagi Kumpulan B, yang melibatkan program Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi MARA bakal diumumkan seawal 3 Ogos, Sabtu ini. Perkara berkenaan disahkan oleh pegawai Hal Ehwal Akademik UiTM ketika dihubungi petang tadi.

Menurutnya, pengumuman itu adalah seperti yang tertera pada kalendar akademik yang diluluskan Senat. Walaubagaimanapun, katanya keputusan peperiksaan hanya akan diumumkan sebaik selepas sidang Mesyuarat Majlis Peperiksaan Universiti yang dijadualkan pada 2 Ogos sehari sebelum tarikh pengumuman rasmi.

"Sekarang proses pengiraan PNG dan PNGK telah pun selesai dan hanya menunggu Senat untuk bersidang dalam mesyuarat Majlis Peperiksaan Universiti jumaat ni.

Sementara itu Majlis Perwakilan Pelajar UiTM melalui laman rasmi Facebook memberi peringatan mesra kepada pelajar program Sarjana Muda agar melaksanakan Student Feedback Online (SuFO) sebelum tarikh keputusan diumumkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

UiTM sebelum ini menegaskan bahawa keputusan peperiksaan pelajar akan ditahan sekiranya pelajar gagal melengkapkan maklumbalas secara atas talian (SuFO) sebaik keputusan rasmi dikeluarkan dengan slogan 'no SuFO, no result'.

Bagi pihak UiTM Insider, kami mengucakan selamat maju jaya, semoga peroleh keputusan yang cemerlang dan diberkati Allah.

Tuesday 30 July 2013

30 Julai - Seperti yang kita sedia maklum bahawa tempoh cuti Hari Raya Aidilfitri bagi kumpulan A, iaitu Pra Diploma, Diploma dan Asasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah tetap seperti yang diluluskan oleh Senat UiTM juga seperti yang tertera pada kalendar akademik universiti bagi ketiga-tiga jenis program terbabit.

Turut ditekankan oleh Naib Canselor UiTM, melalui laman Facebook rasminya yang memberitahu bahawa UiTM pada dasarnya akan mula bercuti pada 2 atau 3 Ogos bergantung kepada negeri-negeri yang berkenaan. Kuliah pula akan disambung semula pada 11 atau 12 Ogos.

Perkara ini jelas membawa maksud bahawa pelajar di UiTM Kelantan dan yang sewaktu dengannya akan memulakan sesi pembelajaran dan kuliah seawal 4 hari raya manakala yang lainnya seperti kampus induk akan bermula pada 5 hari raya aidilfitri.


Secara menyeluruh, rumusan cuti pada bulan Ramadhan adalah lebih panjang berbanding pada bulan Syawal seperti yang dijadualkan kerana Ramadhan dijangka melabuhkan tirai selewat 7 Ogos 2013 kemudian disusuli dengan ketibaan Syawal dengan keizinan yang maha Esa.

Persoalannya, adakah pelajar UiTM bersetuju dengan keputusan yang dibuat tanpa mengambil kira perihal kekeluargaan dan sentimen perayaan yang merupakan hari kemenangan yang disambut kerana bezanya dengan Ramadhan adalah, untuk diibadahkan dan untuk diraikan.

Apakah pengurusan tidak mengambil kira setiap cadangan pelajar yang meminta agar cuti pada hari raya dipanjangkan dan cuti pada bulan ramadhan dipendekkan? Atau Senat hanya ingin memudahkan kerja mereka?

Tidak, bukan begitu. Jom kita teliti apa yang di jelaskan oleh Prof. Azni, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik UiTM.


"Kami pernah beri cuti pendek sebelum raya dan panjang selepas raya tetapi kemi telah menerima banyak aduan bahawa tiket bas, tiket kapal terbang semua dah habis dan sebagainya. Cuti dah diberi, rancanglah sebaik-baiknya dan gunakan cuti ramadhan untuk beribadah..pihak HEA telah memikir panjang termasuk implikasinya sebelum mendapat kelulusan Senat dalam perkara ini. Jika nak bantu universiti saya nak cadangkan para pelajar cuba merancangkan Kalendar Akademik UiTM dengan mengambilkira semua kehendak pelajar, kehendak staf, kekangan dwi-kitar, deadline untuk sesi perdana, intersesi,tempoh unrtuk peperiksaan khas, pemarkahan, mesyuarat2 peperiksaan, mesyuarat jawatankuasa akademik pelbagai, Senat dan lain-lain proses pentadbiran akademik. Kami sangat alu-alukan bantuan daripada pelajar untuk menghasilkan satu kalandar akademik UiTM yang syumul (perfect and ideal)," Prof Azni Zain Ahmed.

Oleh yang demikian, terimalah keputusan ini sebaiknya memandangkan Syawal bukan sehari tapi sebulan. Gunakan Syawal kali ini untuk mengiratkan hubungan mahasiswa-staf, dan staf-mahasiswa agar pembangunan UiTM sentiasa berkembang mengikut arus peredaran masa.

Berkenaan dengan isu ini juga, diharapkan Majlis Perwakilan Pelajar boleh menjadi agen pencerah kepada adik-adik mahasiswa Pra Diploma, Diploma, dan Asasi.

"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkau lindungilah anak2ku siswa siswi UiTM agar mereka bergembira dan selamat menyambut Hari Kebesaran Aidilfitri bersama keluarga mereka. Ameen...," Tan Sri Prof. Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Salam Lebaran.

Saturday 27 July 2013

27 Julai - Siapa itu GAMUS, Middle Voices, GMM mahupun aRMada... kesemuanya ini ialah media alternatif kepada para pelajar UiTM. Tidak kira apa pun pegangan mereka sama ada berpihak kepada aspirasi mahupun mahasiswa, mereka tetap dikenali sebagai media alternatif kepada para pelajar UiTM sama ada memperolehi maklumat dalaman UiTM mahupun isu semasa yang berlaku diseluruh negara.

Persoalannya, adakah mereka ini sumber yang berautoriti untuk dipercayai oleh seluruh mahasiswa UiTM, ataupun mampukah mereka ini dijadikan sandaran sebagai media utama untuk masyarakat luar mendapatkan maklumat mengenai UiTM..?

Persoalan inilah yang membangkitkan pertanyaan kepada mahasiswa UiTM dimanakah media yang lebih berautoriti dalam menyampaikan maklumat kepada mahasiswa UiTM? Secara langsung pertanyaan ini ditujukan kepada Majlis Perwakilan Pelajar UiTM dimana mereka secara rasminya telah dilantik oleh mahasiswa UiTM sebagai wakil mereka. 

Adakah media untuk MPP tidak wujud ataupun seperti hidup segan mati tak mahu...?

Mengikut sumber yang diperoleh MPP UiTM Shah Alam memiliki akaun twitter yang mencecah 600+ follower dan Facebook fanpages sebanyak 8000+ like... persoalannya kenapa media yang lebih berautoriti sebegini tidak mendapat tempat dihati pelajar sedangkan media alternatif lebih banyak followers dan likers.. adakah salah para pelajar atau MPP sendiri?

Apabila pertikaian diberikan oleh beberapa pihak kini media MPP sudah mula bertatih bergerak sedikit demi sedikit setelah lama koma dan menyepi dalam dunia realiti tanpa mereka sedar kekuasaan yang dimiliki oleh media baru kini. Sebaliknya media alternatif yang masih boleh dipertikaikan siapakah pemiliknya lebih menjadi pilihan pelajar UiTM.

Oleh kerana MPP gagal menggunakan media yang dimilikinya sebaik mungkin dalam menjadi saluran komunikasi dua hala dengan pelajar sehingga menyebabkan kurangnya informasi sebenar disalurkan kepada pelajar mengenai pergerakan MPP dan UiTM khususnya pihak pentadbiran. Akhirnya para pelajar terus meletakkan konklusi MPP Syok Sendiri dalam menjalankan aktiviti dan langsung tidak mewakili suara mereka.

Jangan disalahkan pelajar UiTM jika mereka terlalu lantang mempertikaikan banyak perkara secara langsung di Facebook Tan Sri Sahol yang dilihat lebih hidup berbanding MPP. Kesannya, apa gunanya ada MPP jika para pelajar sendiri boleh secara langsung mengekspresikan permasalahan mereka kepada ayahanda UiTM?

Semoga MPP 2012/2013 dapat mengajar bakal MPP 2013/2014 tentang betapa pentingnya pengunaan media baru untuk mendekati mahasiswa UiTM yang sekarang ini hampir kesuluruhannya sudah memiliki media sosial. Malahan lagi, kecanggihan teknologi kini yang telah membolehkan kita online melalui telefon juga sudah tidak menjadi alasan kepada MPP untuk tidak aktif dan terus memarahi para pelajar jika mereka tidak peka sedangkan anda sendiri tidak menyampaikannya dengan baik.

"Akhir kata.. jangan syok sendiri...mereka mungkin hanya online Facebook mereka yang begitu aktif berbanding facebook MPP yang rasmi."

Friday 26 July 2013

26 Julai - Seperti yang kita sedia maklum, kolej kediaman di UiTM tidak boleh menampung keseluruhan jumlah pelajar. UiTM sebagai sebuah universiti yang mempunyai penuntut paling ramai di Malaysia secara langsung terpaksa membentuk satu sistem saringan agar hanya pelajar yang terbaik dan dikira kurang berkemampuan sahaja yang layak diberikan kemudahan tersebut.

Langsungnya, apabila Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) dicipta maka satu paksi mahasiswa untuk bergiat aktif telah ditubuhkan. Namun apa sudah jadi dengan JPK sekarang? Pelbagai rungutan antara mahasiswa dapat didengari berkenaan sikap pilih bulu JPK dalam aktiviti-aktiviti kolej dan isu kelayakan pelajar untuk menduduki kolej kediaman.

JPK kini dianggap makin kehilangan fungsi kerana tidak mampu bertindak secara efektif dalam menyampaikan permasalahan mahasiswa yang menginap di kolej pada pihak pengurusan kolej. 

Contoh terdekat yang boleh diambil ialah JPK Kolej Perindu. Pada minggu peperiksaan semester Jun 2013 satu “spotcheck” barangan elektrik tidak berdaftar telah dilakukan oleh pihak pengurusan kolej. Apakah relevannya spotcheck tersebut dilakukan pada minggu peperiksaan?

Pengurusan melakukan spotcheck tersebut dengan bantuan para JPK perindu. Dimanakah tanggungjawab JPK dalam menyampaikan suara penghuni kolej kediaman ketika itu? Tidak mungkin pengurusan dan JPK tidak sedar yang bahawa rata-rata pelajar sedang belajar pada waktu tersebut.

Harus diingatkan bahawa terdapat pelajar yang telah tamat peperiksaan awal dan pulang ke kampung halaman. Malah, sebilangan pelajar pula akan keluar belajar di perpustakaan dan fakulti masing-masing. Kritikalnya, mereka yang akan mengambil peperiksaan pada keesokan harinya. Pasti pemeriksaan remeh temeh ini mengganggu mereka untuk mengulangkaji pelajaran.

Minggu peperiksaan ini merupakan waktu genting buat mahasiswa mentelaah pelajaran lebih-lebih lagi minggu mengulangkaji yang dipendekkan kerana jumlah cuti yang terlalu banyak pada semester ini. Seharusnya, minggu ini tidak disentuh oleh pengurusan dengan alasan untuk membuat pemeriksaan barangan elektrik.

Persoalannya, sejauhmanakah efektifnya pemeriksaan ini ketika jumlah penghuni kolej tidak mencapai kapasiti yang sepatutnya? Adakah pengurusan selama ini bergoyang kaki bersama JPK sehingga tiada masa, dan terpaksa memilih minggu peperiksaan?

Salah guna kuasa juga dilihat makin kerap berlaku dalam JPK. Terutamanya Kolej Jati, Perindu, Mawar dan Melati. Mereka sering memaksa pelajar untuk bergiat aktif dalam aktiviti kolej tanpa kerelaan pelajar sendiri. Pelajar ditahan dari pulang bermalam pada hujung minggu kerana aktiviti bukanlah satu perkara yang asing. 

Antara ugutan yang sering dilemparkan dari pihak JPK adalah pelajar tersebut tidak akan mendapat kolej jika tidak hadir dalam sesuatu aktiviti anjuran JPK. Begitu besarkah kuasa JPK? Adakah mereka mempunyai kuasa menewaskan persatuan-persatuan pelajar yang lain? Dimanakah ruang untuk persatuan dalaman universiti untuk mempromosikan aktiviti dan program yang mereka anjurkan?

Cukup sekadar mewajibkan pelajar dan memaksa mereka datang? Tidakkah itu bermakna aktiviti anjuran JPK sekadar syok sendiri? Alasan berupa ugutan yang meletakkan kelayakan untuk menghuni kolej pada semester seterusnya merupakan satu kezaliman berganda. Hal ini kerana, menyertai aktiviti anjuran JPK, yang diwajibkan bukanlah satu jaminan bahawa permohonan menduduki kolej kediaman akan berjaya. Paksaan satu perkara, penipuan sebuah lagi perkara.

Pelajar yang ingin menginap di kolej akan hadir ke program-program tersebut tanpa sebarang ugutan atau paksaan. Jika pelajar tidak hadir ke program-program anjuran JPK itu biarkan sahaja mereka kerana mungkin mereka aktif dalam aktiviti-aktiviti lain di UiTM selain aktiviti kolej. Jika mereka memang tidak aktif maka itu satu pentanda yang jelas yang bahawa mereka memang tidak perlukan kemudahan tersebut.

Tambahan lagi, terdapat JPK yang dengan murah hatinya memberi kupon pada sahabat-sahabat mereka secara percuma. Beruntunglah bagi mereka yang punyai hubungan baik dengan JPK. Tidak perlu hadir ke program cukup dengan sekadar meminta kupon lebih secara percuma dari JPK.

Perkara ini sedikit sebanyak menutup peluang lain bagi pelajar-perlajar yang benar-benar aktif. Tidakkah JPK sedar bahawa apa yang mereka lakukan ini salah satu bentuk korupsi dan pengamalan kronisme?

Mengapa kejayaan seseorang pelajar menganjurkan program diperingkat universiti dan antarabangsa tidak dijadikan penilaian? mengapa penglibatan pelajar dalam aktiviti luar kampus yang diiktiraf badan ternama tertentu tidak dianggap layak menduduki kolej?

Antara rungutan yang paling nyata dalam kalangan pelajar aktif ialah bagaimana sesuatu pengkelasan kupon itu diklasifikasikan? Apakah pembezaan antara kupon kolej kediaman dan kupon anjuran persatuan dan MPP itu releven pada waktu sekarang?

Apakah seluruh mahasiswa kampus selepas ini tidak perlu aktif berpersatuan dan hanya perlu fokus kepada aktiviti kolej? apakah dengan cara ini dapat menunjukkan bahawa aktiviti anjuran JPK itu berjaya dengan menarik puluhan ribu penyertaan? Apakah aktiviti JPK sahaja boleh menjamin pekerjaan pada masa akan datang sekiranya penyertaan mereka ditampal ke dalam resume?

Kegagalan menjalankan tanggungjawab sebagai perwakilan adalah berpunca daripada pemilihan JPK itu sendiri. Kegagalan mereka dalam membela nasib mahasiswa yang tinggal di kolej adalah kerana mereka memang bukan dipilih oleh mahasiswa yang sebaliknya dicaturkan oleh pengurusan sendiri.

Semakin baik dan aktif seseorang itu menundukkan kepalanya ketika berhadapan dengan pengurusan kolej, semakin tinggi peluangnya untuk dilantik sebagai JPK. Semakin baik hubungan seseorang itu dengan JPK sebelumnya, semakin besar peluangnya untuk memegang jawatan penting di dalam sesebuah kolej kediaman.

Realitinya, mereka dipilih dari batch JPK yang terdahulu. Jauh bezanya JPK UiTM dengan JPK-JPK di universiti lain yang perlu melalui proses pilihanraya seperti MPP. Ambil UTHM sebagai contoh di mana Jawatankuasa Perwakilan Kolej dipilih sendiri oleh mahasiswa melalui sistem pilihan raya kolej kediaman. 

Satu tindakan transformasi perlu dilakukan dengan segera agar JPK menjadi lebih efektif pada masa hadapan. Ingat para JPK, anda bukan yang berhormat, sebaliknya anda yang berkhidmat. Jika ingin menjadi pengganti pada MPP dalam kawasan kolej maka lakukan kerja anda dengan baik. 

MPP UiTM juga harus cakna. Anda juga harus memainkan peranan dalam isu ini kerana penghuni kolej juga pelajar UiTM. Apa gunanya wujud Exco Penempatan dan Kolej jika mereka tidak bersuara. Adakah MPP sendiri sudah tidak mampu bersuara terhadap JPK? Sedangkan JPK juga berada dibawah MPP.

Thursday 25 July 2013

SHAH ALAM 25 Julai – Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan membina makmal baharu bernilai RM25 juta bagi menggantikan empat buah bilik makmal Fakulti Sains yang musnah dalam kebakaran pada pertengahan bulan ini.

Bagaimanapun Naib Canselor UiTM, Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, tapak pembinaan makmal baharu tersebut belum ditetapkan oleh pihak universiti.

”Kebakaran empat makmal tersebut menyebabkan kerugian hampir RM5 juta dan dengan itu kita menggantikannya dengan membina makmal baharu dengan kos RM25 juta di lokasi lain manakala tapak makmal yang terbakar akan ditebus guna sebagai tempat meletak kenderaan.

”Taksiran kerugian sejumlah RM5 juta itu disebabkan beberapa peralatan makmal untuk memproses bahan uji kaji telah terbakar tetapi kerosakan bangunan tidak seberapa kerana melibatkan kebakaran bangunan separuh papan dan bata berusia hampir 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Rewang Perdana Memasak Bubur Lambuk di pekarangan Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Pada 15 Julai lalu, empat buah bilik makmal yang terletak di sebuah bangunan setingkat Fakulti Sains musnah dalam kebakaran di UiTM kampus Shah Alam di sini.

Kebakaran berlaku kira-kira pukul 4.15 petang ketika tiga pelajar bersama seorang pensyarah serta seorang pembantu makmal menjalankan eksperimen dalam salah sebuah bilik makmal.

Bagaimanapun, kesemua mereka sempat menyelamatkan diri sebaik sahaja menyedari api merebak dari sebuah bilik makmal di tengah bangunan tersebut yang terletak di hadapan Kolej Perindu.

Sahol Hamid berkata, kebakaran tersebut juga menyebabkan simpanan bahan-bahan kimia di dalam empat buah makmal tersebut tidak dapat diguna lagi untuk menjadi bahan uji kaji kerana sudah terdedah pada suhu yang tinggi.

Mengenai program Rewang Perdana tersebut, beliau berkata, program itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan daripada 10 jabatan di bawah pentadbiran UiTM sempena bulan Ramadan tah

”Seramai 250 orang kakitangan dan pegawai terlibat dengan program Rewang Perdana tahun ini.

”Sebelum ini setiap jabatan mengadakan program berasingan di peringkat jabatan masing-masing tetapi kali ini kita satukan,” kata beliau.