Wednesday 27 November 2013


Pada ketika Pilihanraya Kampus UiTM sedang rancak berlangsung, aku baru tahu yang Ibrahim Ali merupakan salah satu dari Ahli Lembaga Pengarah UiTM.

Bertuah betul jadi Ibrahim Ali ni. Dulu dalam UMNO disanjung, keluar UMNO diterima PAS pula, dipilih jadi Calon Pasir Mas. Dengan izin Allah, menang dia. Lepas itu, keluar PAS, jadi bebas, tubuh NGO bernama PERKASA, lantik diri sebagai Presiden.

PRU-13 pula, UMNO bermurah hati tarik diri,, nak bagi dia tanding satu lawan satu dengan anak Tok Guru Nik Aziz. Tapi kali ini Allah pilih anak seorang Ulama untuk jadi wakil rakyat Pasir Mas. Tapi bertuahlah Ibrahim Ali sebab walaupun tanding atas tiket bebas, jentera UMNO semua kempenkan dia masa tu.

Baru-baru ni dijatuhkan hukuman hina Mahkamah, kenalah penjara SEHARI. Bertuah lagi Dato Ibrahim Ali ni. Tak payah masuk lokap, penjara satu hari je, jalan-jalan minum teh tarik. Sekarang (tak tahu bila dia dilantik ni) jadi pula Ahli Lembaga Pengarah UiTM. Untunglah pelajar UiTM kerana dapat ahli pengarah yang sentiasa bertuah seperti Dato Ibrahim Ali ini.

Artkel ditulis:
Isamuddin Isa
Blogger bebas

Monday 25 November 2013


















Berikut adalah keputusan penuh bagi penamaan calon yang bertanding dan menang tanpa bertanding. Ternyata Hal Ehwal Pelajar berjaya mengatur strategi menyekat pencalonan dengan:

1. Kehilangan dekan pada waktu pengisian borang ketika calon cuba mendapatkan tandatangan mereka yang membawa kepada tidak layak bertanding.

2. Dekan enggan terima borang yang mana calon tidak hadir Kem Rahsia yang hanya dihadiri calon pilihan hati HEP-MPP

3. Mahasiswa tidak lagi berminat mewarisi organisasi Majlis Perwakilan Pelajar kerana sedar bahawa wujud sesuatu yang 'tidak kena' dengan Pilihan Raya Kampus di UiTM

4. Mahasiswa tidak percaya akan sistem e-Voting yang digunakan.

Sunday 24 November 2013

Dari Meja Penulis;

Percaya bahawa wujudnya sesuatu yang tidak kena dengan sistem Pilihan Raya Kampus di UiTM amat membantu kami untuk terus menggali setiap lubang rahsia yang ditutup rapi oleh pihak tertentu.

Benar, adakalanya maklumat yang disampaikan kurang tepat tetapi juga hampir tepat dan ada yang benar sehingga membimbangkan pihak yang membina lubang rahsia tersebut.

Wujud mahasiswa yang menentang pembongkaran. Kami dianggap cuba memecahkan perpaduan. Tetapi itu tidak cukup untuk mematahkan semangat kami untuk menjelaskan, bahawa kata kata Dr Jamaluddin Ahmad, pensyarah Fakulti Pendidikan amat tepat dan tidak dinafikan.


Terdiri dari mereka di luar sana, tidak faham dan kurang jelas akan apakah permainan yang berlegar di sebalik bingkai laman sosial yang bertubi menekankan agar mahasiswa memboikot Pilihan Raya Kampus di UiTM.

*Mohon rujuk artikle sebelumnya yang berlegar kepada penjelasan apakah itu Pilihan Raya Kampus.

Apa yang ingin kami sampaikan di dalam kertas ini adalah sebab dan beberapa situasi yang tak disusuli dengan bukti tetapi cukup untuk mahasiswa berfikir dan mereka akan tahu jawapannya sendiri.

Mengapa kami katakan, bahawa sistem kita tidak kena dan kita perlu lakukan sesuatu?

Pertama: Tarikh Penting
Pilihan Raya Kampus merupakan hak mahasiswa, mereka berhak dimaklumkan tentang tarikh penting yang wajib diwar-warkan agar mahasiswa maklum bahawa akan ada sebuah pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dalam masa terdekat.

Tetapi proses ini tidak berlaku seperti yang sepatutnya di mana Hal Ehwal Pelajar merahsiakan tarikh penting tersebut. Hasilnya, mahasiswa berkata "..tiba tiba ja dah ada proses pengambilan borang, tak tahu pun?"

Kedua: Hak Pemilih dan Perwakilan Diploma
Semua sedia maklum, bahawa dari tarikh 19 November, iaitu tarikh pengambilan borang pencalonan adalah waktu cuti semester pelajar diploma. Tapi proses itu berjalan seolah menafikan hak pelajar diploma untuk mencalonkan diri mereka sebagai perwakilan. 

Ia dirancang. Mustahil lembaga akademik universiti tidak sedar bahawa pelajar diploma masih dalam cuti semester.

Ketiga: Tandatangan Dekan Fakulti
Ketika sesi penyerahan borang pada 21 November, hanya calon yang diperkenalkan MPP sahaja akan menerima tandatangan dekan, calon yang tidak menghadiri kem rahsia yang tidak diwar-warkan akan ditolak mentah mentah oleh dekan.

Malah wujud pula calon yang ditolak oleh dekan kerana terdapat unsur kononnya calon membawa perwatakan politik PAS, sebagai bukti calon Fakulti Dr. Jamaluddin yang bertudung labuh tidak dibenarkan dekan untuk bertanding.

Ada juga dekan yang hilang. Anehnya calon daripada MPP berjaya mendapatkan tandatangan dekan. Juga seperti dirancang.

Keempat: Kem Rahsia Hal Ehwal Pelajar
Calon calon yang dipilih oleh Hal Ehwal Pelajar telah berjaya menghadiri lebih daripada 3 kem seperti wawi dan beberapa kem lain di Kiwa, Sepang dan Kem Biro Tata Negara. Kem ini merupakan syarat utama yang melayakkan seseorang itu untuk mendapatkan tanda tangan Dekan.

Namun tidak satu pun daripada kem ini diketahui umum, melainkan calon yang datang daripada hasil hubungan baik dengan ahli MPP atau calon pilihan MPP. Adakah ini juga satu kebetulan? 3 daripadanya dan kesemuanya tidak diketahui umum.

Kelima: Penglibatan Alumni, BTN, RPM dan Pegawai Khas Timbalan Menteri
Wujud penglibatan anggota tertentu seperti Biro Tata Negara dan Revolusi Pemimpin Muda dalam memaksa perubahan pendapat atau Brainwash dalam kalangan calon. Calon didoktrin agar mendokong hasrat kerajaan dan universiti.

Malah wujud penglibatan secara langsung Pegawai Khas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam proses yang sama ketika di Intekma Resort yang mana tempat calon dikumpulkan. Masih kami terfikir, apakah tujuan sebenar penglibatannya?

Keenam: Menang Tanpa Bertanding
Disebabkan MPP gagal mendapatkan calon yang punya komitmen dan nilai kepimpinan sebenar, mereka hanya mampu dapatkan calon yang berstatus tangkap muat dan tanpa pengalaman yang cukup dalam erti kata layak untuk memimpin.

Malah calon pilihan MPP berkurangan atas faktor calon tidak yakin dengan diri sendiri sehinggakan hampir 17 daripada 25 fakulti dianggarkan bakal menang tanpa bertanding. Jika MPP menang tanpa bertanding, adakah dia sebenarnya pilihan mahaisiswa? 

Apa pula makna sebuah pemilihan jika tiada pertandingan. Tiada yang mencabar dan hanya ada yang memang dirancang untuk terus menang.

Ketujuh: Kerusi YDP
Ideologi MPP sebelum ini dilihat gagal membawa perubahan serta mengalirkan suara mahasiswa di medan yang betul. Tidak membawa kelandasan yang betul atau tiada usaha untuk berbuat begitu. Namun wujud MPP yang turun dan berniat bertanding semula untuk menyambung ideologi sama. 

Malah wujud pertelingkahan kerana kedua dua perwakilan merebut jawatan tertinggi majlis tersebut iaitu kerusi Yang Di Pertua seperti juga dirancang.

Tidakpun begitu, jika mantan MPP ini tidak bertanding, wujud kabinet bayangan yang disusun agar ideologi sama diteruskan. Ideologi ini adalah berbentuk taat kepada Hal Ehwal Pelajar dan tidak terlalu mengikut kehendak mahasiswa.

Kelapan: Sistem e-Voting
Andainya ada pertandingan antara mana mana calon secara terbuka, sistem ini seolah tidak lagi boleh dipercaya. Seperti kebiasaan, calon pilihan MPP akan menang yang seolah wujud kepada perubahan nombor.

Juga suatu yang dirancang.

Kesembilan: Siapakah Calon
Calon yang dipilih secara tangkap muat berkemungkinan tidak terlalu aktif dalam kehidupan kampus. Mungkin juga tidak menyertai mana-mana persatuan dalaman. Calon baru akan digilap melalui kem rahsia HEP.

Selain calon tak berpengalaman, muncul penambahan kepada calon lelaki yang bersifat lembut atau feminin.

Ketika sesi pemilihan, akan wujud satu fenomena bahawa pelajar terpaksa mengundi calon walaupun mereka langsung tidak mengenalinya. Kerana memilih wakil ketika PRK berlangsung bukanlah satu pilihan untuk pemilih di UiTM.

Akhir kata, kami tiada bukti bertulis yang boleh diselarikan dengan penulisan ini, tapi cukup untuk wujudkan kesedaran bahawa Hal Ehwal Pelajar perlu menjawab setiap keadaan dan situasi yang berlaku secara rahsia dan terancang.

Jika mahasiswa tidak tanya sekarang, maka benar bahawa peluang itu jelas hanya datang sekali. Sekian, terima kasih. - 24/11/2013

Saturday 23 November 2013

Selaku pensyarah baru di UiTM, saya sangat tertarik untuk menulis cerita ini rentetan peristiwa yang berlaku beberapa hari sebelum. Mungkin tulisan ini agak ringkas tetapi cukup untuk kita berfikir.

Semua tahu bahawa dikatakan UiTM merupakan kubu kuat Pro Aspirasi. Walau apa pun terjadi, Aspirasi akan terus bertahan di UiTM.

Semalam salah seorang daripada pelajar saya minta untuk berjumpa, katanya ada suatu cerita menarik. Ramai kawan lain tidak mahu turun mengundi.

Pelajar yang berjumpa dengan saya itu katanya, mahu bertanding. Justeru, dia meminta jasa baik saya supaya menyeru pelajar turun ke padang dan mengundi. Namun, terdetik di hati saya untuk menyiasat apa sebenarnya yang terjadi.

Kabinet Majlis Perwakilan Pelajar dibubar pada 18 November 2013. Malangnya, hal ini tidak digembar-gemburkan kepada pelajar.

Selain itu, menurut maklumat yang saya terima, selepas tarikh pembubaran, pelajar yang berminat untuk bertanding hendaklah datang ke pejabat Hal Ehwal Pelajar dan mengambil borang dan menyerahkan semula pada Khamis iaitu semalam.

Apa yang saya dapat lihat ialah berita ini juga tidak digembar-gemburkan dan segalanya sepi. Ia terjadi seolah-olah segalanya bersifat eksklusif dan dalaman. Pelajar tidak dimaklumkan.

Dalam hal ini, pelajar yang berjumpa dengan saya juga menyatakan wujud akaun Twitter seperti UiTM Insider, Kelab Sosialis UiTM, Pro Mahasiswa UiTM, GAMUS UiTM dan lain-lain yang menyeru supaya pilihan raya kampus yang akan diadakan pada 27 November 2013 (Rabu) ini diboikot.

Kumpulan-kumpulan ini datang dengan hashtag #DemiUiTM, #BlackUiTM, dan #BoikotPRKUiTM.

Selaku ahli akademik, saya tidak mahu mengulas isu ini secara politikal. Tetapi, saya tertanya-tanya. Jika inilah perkara yang terjadi dan ia mendapat sambutan luas dalam kalangan pelajar. Maka, ada sesuatu yang “tidak kena” dalam sistem kita. – 22 November, 2013.

* Dr Jamaluddin Ahmad ialah Pensyarah Fakulti Pendidikan, UiTM Shah Alam.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.


Wednesday 20 November 2013

Tidakkah anda rasa Pilihan Raya Kampus (PRK) UiTM HAMBAR????? 

Sungguh berbeza sekali PRK kita dengan universiti lain, tidakkah anda menyedarinya atau anda sekarang ini masih terus dibuai mimpi lena disogok oleh HEP untuk duduk diam menyepi dan mengikut perintah di bawah telunjuk mereka?

Bangun pelajar UiTM ayuh kita mempertabatkan demokrasi sebenar bagi kemajuan UiTM dan bangsa kita.. kalau tidak sampai bila-bilalah kita akan terus dengan ditongkatkan menunggu lumpuh patah dan terus terkubur.

Oleh yang demikian, Dari Meja Penulis dengan sukacitanya membuka UiTM Insider kepada semua pelajar UiTM untuk menulis artikel meluahkan ketidakpuasan hati dan menyalurkan idea yang bernas bagi sama-sama menghangatkan PRK UiTM. Dalam masa yang sama ayuh kita bersama mengunakan medium ini agar suara mahasiswa didengari dan digeruni oleh pihak pentadbiran yang selama ini mengawal pemikiran kita untuk diam dan patuh atas segalanya dengan alasan BERSYUKUR...

Bagi mereka yang berminat cara menghantar artikel anda kepada UI ialah seperti berikut:

  1. Tulis dalam format Arial, 11 di Microsoft Words 
  2. Sila nyatakan Nama Pena, fakulti mana dan jika identity anda ingin dikenali sila sertakan sekali gambar anda 
  3. Artikel anda tiada limit patah perkataan 
  4. Idea bebas selagi ia berkaitan dengan UiTM 
  5. Jika ingin sertakan gambar sila hantar gambar berasingan dari Microsoft Words anda tetapi didalam Microsoft words juga anda perlu paste gambar untuk makluman kami 
  6. Sila inbox artikel anda di Facebook UiTM Insider - https://twitter.com/UiTMInsider
Jangan risau artikel anda akan dinilai dan disiarkan setelah segala syarat Berjaya dilaksanakan.
Peringatan untuk menyiarkan artikel di UiTM Insider:

  1. Kami tidak akan bertanggungjawab diatas penulisan anda, perlu diingatkan penulisan artikel anda ialah tanggungjawab individu dan kami hanya menjadi pemudah cara. 
  2. Artikel yang dihantar akan dinilai tetapi bukan disekat, jika penulisan berkenaan tidak ada kena mengena dengan UiTM ia tidak akan disiarkan, selagi ia masih berkaitan ia akan disiarkan tidak kira sama ada positif atau negative. 
  3. Komen yang provokasi dalam artikel anda akan dikawal bagi mengalakkan perbincangan yang lebih bernas. 
  4. Bagi penulis yang ingin merahsiakan identiti pihak UI akan membuat penilaian yang lebih ketat terhadap anda. Anda diminta menghantar artikel mengunakan profile Facebook yang sebenar dan diminta memberi butiran yang benar kepada pihak UI kemudian baru artikel anda boleh disiarkan dan pihak UI akan merahsiakan identiti anda. Selagi Pihak UI tidak tahu siapa anda, artikel anda tidak akan dilayan. 
JADI APA ANDA TUNGGU LAGI??
Ayuh bersama kita mengimarahkan medium ini agar suara mahasiswa UiTM didengari bukan disangkal.

Sebarang persoalan boleh ajukan di ruang komen atau di social media kami Facebook (https://www.facebook.com/UiTMInsider) & Twitter (https://twitter.com/UiTMInsider)

*cukup ke post luahan anda di facebook Dato Sahol end up tak dilayan tapi dipersenda oleh Staff dan HEP or HEA.. emm~ kita perlukan medium yang lebih bersuarakan mahasiswa.. AYUH MAHASISWA MAHASISWI!!!

Tuesday 19 November 2013

Pilihan Raya Kampus merupakan satu pengamalan sistem demokrasi di sesebuah universiti yang diamalkan bagi melantik sebuah jawatankuasa pelajar induk yang mengetuai semua persatuan dan badan pelajar di kampus.

Seperti universiti lain, Universiti Teknologi MARA tidak terlepas daripada mengamalkan sistem pemilihan jawatankuasa perwakilan pelajar yang mana melalui proses pilihan raya tersebut, maka akan berlangsung satu corak perlantikan berasaskan undian yang dipungut mengikut undi popular pelajar.

Kemudian, barulah ia, jawatankuasa yang dipilih tadi membentuk sebuah organisasi yang dipanggil sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Telus dalam membantu, menyampaikan suara pelajar serta prihatin terhadap keadaan semasa dalam konteks kebajikan pelajar untuk dibawa kepada pengurusan universiti merupakan sebuah bidang atau lapangan yang membentuk identiti MPP yang dilantik.

Sistem dan kaedah perlaksanaan pilihan raya kampus yang berkesan turut menjadi satu pandangan fenomena bagi memastikan sesuatu pengamalan demokrasi di peringkat universiti dapat dibentuk dengan harapan pengalaman hari ini membentuk pemimpin di hari esok.

Jika di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, wujudnya beberapa kesatuan pelajar yang membawa polariti berbeza yang membentuk pertembungan ideologi dalam memastikan sebuah badan pelajar yang dilantik menjalankan amanah dan tanggungjawab mewakili pelajar dengan baik.

Sebagai contoh, Pro Aspirasi dan Pro Mahasiswa akan bertanding bagi merebut kerusi fakulti dan kerusi umum yang dipertandingkan. Kemenangan majoriti akan menentukan kerajaan mahasiswa terletak pada tangan Pro Aspirasi ataupun Pro Mahasiswa.

Namun, sistem polariti Pro A dan Pro M ini tidak terpakai di UiTM. UiTM hanya mempertandingkan 2 kerusi untuk setiap fakulti tanpa apa-apa pengaruh persatuan atau kesatuan pelajar atau lebih mudah, calon bertanding atas tiket individu. 

Pilihan raya kampus juga tidak sehebat universiti tempatan lain memandangkan perpaduan kampus menjadi alasan kukuh untuk tidak membenarkan mahasiswa berbuat demikian.

Persoalannya, apakah masih releven alasan yang diberikan sebagai tanda sayangkan UiTM dan enggan melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan pelajar? 

Apakah MPP berjaya menjalankan tugas mereka sebagai perwakilan yang merupakan pemudah cara bagi mahasiswa untuk berurusan dengan pentadbiran?

Ratanya pelajar dengan senang seolah tiada pernah wujud MPP sepanjang tahun pengajian mereka, seperti "Siapa MPP?" "Apa MPP buat?" "Macam takde MPP je". Perkara ini bukan direka tetapi hampir menjadi kenyataan apabila senario semasa menjelaskan bahawa kewujudan wakil pelajar itu tidak dirasa.

Tambah lagi, tumbuh segar petikan yang membentuk penjenamaan semula akronim MPP yang asalnya Majlis Perwakilan Pelajar bertukar menjadi Majlis Perwakilan Pentadbiran. 

Serius dan kritikal perkara ini membentuk satu identiti baru perwakilan yang dilantik melalui undian majoriti apabila mereka hanya bijak menuruti kata pentadbiran dan mengiyakan segala dasar dan polisi yang diperkenalkan. 

Kadangkala wujud pertelingkahan antara pelajar UiTM dengan pengurusan berkenaan dengan masalah fasiliti, taraf kehidupan di kampus dan kemudahan pelajar seperti pengangkutan dalam kampus dan penempatan di kolej.

Namun, isu tersebut berlalu seperti asap bas etiqa yang lalu kemudian lesap ditelan udara. Tiada siapa akan sibuk, kecoh dan bising untuk memperjuangkan suara mahasiswa.

Semakin aneh lagi di UiTM terdapat satu skema jawapan kebal yang mana jika terdapat pelajar yang membuat aduan terbuka berkenaan fasiliti atau apa-apa masalah berkenaan kemudahan di kampus, mereka akan diperingatkan untuk bersyukur kerana yuran di UiTM murah dan ramai lagi boleh gantikan tempat pengadu sebagai pelajar.

Justeru, jika setiap aduan itu disediakan jawapan agar bersyukur, bilakan adanya penambahbaikan sedang pengurusan bertungkus lumus memudahkan kerja mereka agar dapat pulang seawal mungkin jam 4.30 petang tatkala pejabat mula kosong dan papan kenyataan "counter closed" diterbitkan.

Layaknya ada keperluan untuk mengubah sistem perwakilan pentadbiran kepada tujuan asal iaitu perwakilan PELAJAR.

Namun, sistem demokrasi yang hebat diperkatakan untuk membina kepimpinan mahasiswa diperingkat universiti yang konon menjadi canangan orang diluar sana sebenarnya tidak pun pernah wujud di UiTM.

Antaranya, PRK merupakan sebuah acara hebat bagi meraikan pemimpin pelajar baru yang menyaksikan acara pembuangan undi, penamaan calon dan penebaran manifesto dan janji janji calon yang bakal bertanding, namun PRK itu sendiri tak diwar-warkan.

Jika program survival bersama Naib Canselor keluar di muka depan TV Besar UiTM, heboh di laman sosial, dan web UiTM, namun acara hebat PRK tak sama sekali diperluaskan ke pandangan mata mahasiswa. Barangkali hendak memenangkan calon pentadbiran yang disusun rapi sebelum tarikh PRK selain mengelakkan calon Pro M bertanding.

Dekan pula akan mengecam muka calon pentadbiran untuk menurunkan tandatangan mereka sebagai restu, namun mana mana calon yang tak disalin muka mereka sebagai calon 'cheese' pentadbiran, Dekan akan hilang atau enggan menurunkan tandatangan yang berakhir dengan tidak layak bertanding. Ini semua dirancang...

Jentera (mantan MPP) pula, memainkan peranan merosakkan kertas penamaan calon mana-mana calon yang bukan pilhan mereka, memandangkan itu syaratnya dimana kertas penamaan tak boleh diconteng dan jika berlaku ia terbatal dan tidak diterima.

Maka mana-mana calon yang bukan pilihan pentadbiran perlu lebih berhati-hati, pastikan anda mengambil gambar borang sebelum diserahkan kepada jawatankuasa PRK yang berkenaan.

Hasilnya pasca PRK, 13 Fakulti menang tanpa bertanding seolah dirancang dengan teratur tersusun. Bagi pemilihan pada tahun 2013 ini, dilaporkan sebanyak 20 Fakulti bakal menang tanpa bertanding dan 4 Fakulti akan kehilangan calon kerana tarik diri yang berakhir dengan menang tanpa bertanding.

Apakah itu dinamakan pemilihan jika 20 daripada 25 fakulti menang tanpa bertanding? demokrasi? telus? Lebihan lagi calon yang menang merupakan calon hasil jalaan tangkap muat oleh jentera yang gagal mengesan calon berwibawa memandangkan pelajar tidak terkesan dengan kewujudan MPP sehingga tidak muncul minat mewarisi organisasi tersebut.

Apakah masih wujud demokrasi? apakah perlu untuk mahasiswa turun membuang undi bila manifesto dan janji hilang selepas bergelar MPP?

Jika anda faham akan realiti ini, bangkit, laungkan perubahan atau boikot pemilihan JPP pada PRK ini.