Saturday, 23 November 2013

Selaku pensyarah baru di UiTM, saya sangat tertarik untuk menulis cerita ini rentetan peristiwa yang berlaku beberapa hari sebelum. Mungkin tulisan ini agak ringkas tetapi cukup untuk kita berfikir.

Semua tahu bahawa dikatakan UiTM merupakan kubu kuat Pro Aspirasi. Walau apa pun terjadi, Aspirasi akan terus bertahan di UiTM.

Semalam salah seorang daripada pelajar saya minta untuk berjumpa, katanya ada suatu cerita menarik. Ramai kawan lain tidak mahu turun mengundi.

Pelajar yang berjumpa dengan saya itu katanya, mahu bertanding. Justeru, dia meminta jasa baik saya supaya menyeru pelajar turun ke padang dan mengundi. Namun, terdetik di hati saya untuk menyiasat apa sebenarnya yang terjadi.

Kabinet Majlis Perwakilan Pelajar dibubar pada 18 November 2013. Malangnya, hal ini tidak digembar-gemburkan kepada pelajar.

Selain itu, menurut maklumat yang saya terima, selepas tarikh pembubaran, pelajar yang berminat untuk bertanding hendaklah datang ke pejabat Hal Ehwal Pelajar dan mengambil borang dan menyerahkan semula pada Khamis iaitu semalam.

Apa yang saya dapat lihat ialah berita ini juga tidak digembar-gemburkan dan segalanya sepi. Ia terjadi seolah-olah segalanya bersifat eksklusif dan dalaman. Pelajar tidak dimaklumkan.

Dalam hal ini, pelajar yang berjumpa dengan saya juga menyatakan wujud akaun Twitter seperti UiTM Insider, Kelab Sosialis UiTM, Pro Mahasiswa UiTM, GAMUS UiTM dan lain-lain yang menyeru supaya pilihan raya kampus yang akan diadakan pada 27 November 2013 (Rabu) ini diboikot.

Kumpulan-kumpulan ini datang dengan hashtag #DemiUiTM, #BlackUiTM, dan #BoikotPRKUiTM.

Selaku ahli akademik, saya tidak mahu mengulas isu ini secara politikal. Tetapi, saya tertanya-tanya. Jika inilah perkara yang terjadi dan ia mendapat sambutan luas dalam kalangan pelajar. Maka, ada sesuatu yang “tidak kena” dalam sistem kita. – 22 November, 2013.

* Dr Jamaluddin Ahmad ialah Pensyarah Fakulti Pendidikan, UiTM Shah Alam.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.


1 comment:

UiTM Insider tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang anda berikan, komen anda adalah atas tanggungan anda sendiri.