Friday 23 August 2013

23 Ogos - Kehangatan Hari Raya masih lagi terasa, walaupun kebanyakkan daripada penjawat awam seperti di UiTM sudah pulang bekerja seperti biasa. Tetapi amalan utama Aidilfitri iaitu ziarah menziarahi tetap dilaksanakan dengan meriah dan harmoni.

Penulis ingin berkongsi kepada semua warga UiTM bagaimana pengalaman penulis mempunyai seorang kenalan yang menuntut di sebuah universiti swasta terkenal di Malaysia. Sudah lama kami tidak bersua dan sudah pasti pertemuan kami merungkai pelbagai perkongsian yang menarik.

Walaupun kenalan penulis ini berbangsa Melayu tetapi dia dengan bangganya menyatakan ketidakpuasan hatinya dengan kewujudan UiTM sebagai sebuah universiti yang mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera. Katanya Melayu akan semakin bertambah malas dan akan menjadi kurang berdaya saing jika terus terkongkong dalam kepompok universiti melayu.

Tak cukup dengan itu dia juga mempertikaikan kualiti graduan UiTM yang hanya dianggap sebagai kelas bawahan dalam dunia pekerjaan yang cuma cemerlang hanya atas kertas. Begitu juga dengan isu lambakan graduan yang menganggur dan menyalahkan UiTM sebagai salah satu punca.


Sebagai salah seorang warga UiTM, berdesing telinga penulis mendengar kata-katanya yang sugguh pedih itu. Puas penulis cuba memperbetulkan keadaan dengan menyatakan bahawa UiTM bertindak sebagai mekanisme bantuan untuk golongan Melayu yang tidak bernasib baik dan tidak berkemampuan seperti dirinya. Selain itu, UiTM juga menjadi sebuah medium utama dalam melahirkan lebih banyak professional dan pakar dalam pelbagai bidang kepada bangsa Melayu dan Bumiputera.

Malangnya, kenalan penulis ini menuduh pemikiran penulis sempit dan tidak terbuka luas untuk maju kehadapan. Persoalannya, adakah pemikirannya tidak sempit dalam memikirkan kelangsungan dan kebajikan bangsanya sendiri untuk survival di Tanah air ini.

Dia mungkin tidak menyedari yang kewujudan UiTM secara kolektifnya telah membantu pembangunan Negara dalam membangunkan lagi bangsa Melayu dan Bumiputera sebagai majoriti di dalam Negara ini. Walhal Saudara berbangsa cina kenalan penulis sendiri mengakui yang jika orang Melayu maju dalam pelbagai bidang bangsa lain juga akan seiringan maju bersama-sama dan menjadikan Malaysia Negara Kelas Pertama seperti yang diimpikan..

Adakah ini masih dianggap pemikiran sempit dan tertutup?

Dengan izin Allah Taala Aidilfitri kali ini penulis bertemu kembali dengan kenalan penulis itu. Tetapi kali ini caranya sedikit berbeza. Banyak benda dia bertanya kepada penulis mengenai UiTM. Penulis mula curiga dan bertanya kepadanya, kenapa dia ingin mengetahui tentang UiTM sedangkan sebelum ini dia begitu benci dengan kewujudan UiTM

Rupa-rupanya, adiknya baru sahaja mendapat tawaran Asasi Undang-undang di UiTM Shah Alam dan dia mula sedar betapa pentingnya kewujudan UiTM kerana adiknya merupakan harapan untuk menjadi peguam pertama dalam ahli keluarga mereka.

Alhamdullilah, akhirnya dia menyedari betapa pentingnya kewujudan UiTM ini kepada bangsa kita. 

Persoalannya, salahkah kita menjaga bangsa kita sendiri? Jika amalan menjaga UiTM ini memberikan kebaikan bukan sahaja kepada bangsa kita malahan kepada Agama dan Negara. Wajarkah kita menghina dan menghapuskannya?

Persoalan ini penulis tinggalkan kepada semua warga UiTM. Cukupkah kita menghargai UiTM sebagai benteng kejayaan kita pada masa hadapan atau kita hanya mengunakannya sebagai kemudahan semata dan membiarkan kemudahan itu terhapus pada masa akan datang, seperti kata pepatah, Habis madu sepah dibuang.

Monday 5 August 2013


5 Ogos - Dikala artikel ini sedang ditulis hanya tinggal beberapa hari saja lagi untuk kita menyambut ketibaan Syawal dan mengucapkan selamat tinggal pada Ramadhan. Oleh itu kami dari meja penulis UiTM Insider ingin mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada pembaca-pembaca UiTM Insider. 

Semoga ramadhan para pembaca semua menjadi ramadhan yang diberkati oleh Allah SWT dan tidak menjadi sia-sia. Ramadhan yang akan pergi kita akan rasai kehilangannya.. Namun dalam masa yang sama Syawal yang bakal tiba perlu kita raikan. 

Biarlah jika sambutan kita sekadar dengan memakai pakaian yang baru atau memakai pakaian yang masih berkeadaan elok mengikut kemampuan kita kerana itu berlandaskan sunnah.

Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.
Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Disamping itu saya ingin mengambil peluang untuk menceritakan serba sedikit tentang UiTM Insider. Untuk pengetahuan pembaca UiTM Insider bukanlah sebuah gerakan ataupun pertubuhan yang mewakili mana-mana pihak. 

Mungkin para pembaca sudah muak dengan ayat seperti ini kerana ia sering kali menjadi laungan gerakan-gerakan berpaksikan pro mahasiswa. Namun itulah ayat yang sebenar-benarnya menepati ciri-ciri UiTM Insider. 

Kami lebih kepada third force ataupun watchdog dalam pendirian kami. Itupun bukanlah sebuah diskripsi yang tepat kerana kami bukan sebuah gerakan atau pertubuhan.

UiTM Insider hanyalah sebuah newsportal yang bersifat analitik dalam penulisan dan memaparkan penulisan dan padangan peribadi dari meja penulis. Kami bukan gerakan. Lebih-lebih lagi gerakan yang mewakili mana-mana pihak. 

Tak kira jika pihak tersebut merupakan proksi berasaskan pro-mahasiswa atau pro-aspirasi. Jika ada pada sesuatu tindakan itu dianggap tidak kena maka kami akan suarakannya melalui UiTM Insider dan memaparkan cadangan penambahbaikan jika ada.

Contoh terdekat boleh diambil dari artikel kami bertajuk MPP Syok Sendiri. Apa yang kami cuba sampaikan dari artikel tersebut ialah agar MPP bertindak lebih pro-aktif menggunakan media-media mereka yang sudah sedia ada. 

Kerana adalah lebih baik sesuatu berita atau maklumat mengenai universiti itu datang dari media MPP itu sendiri kerana sumber berita tersebut akan menjadi lebih sahih dan tepat. Kecenderungan pelajar UiTM menggunakan media alternatif untuk mendapat maklumat universiti bukan satu perkara yang baik kerana kerana kesahihan maklumat tersebut boleh dipersoal.

Selain itu, kami juga menerima maklumat terdapat beberapa blog yang mencuri artikel kami dan menokok tambah artikel tersebut dengan fakta yang tidak diketahui sahih dan sentimen yang bukan datang dari pihak kami. 

Disini kami ingin menegahkan bahawa kami mengencam sekeras-kerasnya perbuatan seperti ini kerana kami anggap pihak-pihak seperti ini langsung tidak menghormati penat lelah kami dari meja penulis untuk menulis sesebuah artikel.

Anda harus faham bahawa artikel daripada UiTM Insider bersifat pandangan peribadi. Jika anda mencuri dan menokok tambah artikel tersebut maka mesej yang ingin kami sampaikan melalui artikel tersebut sudah lari dari mesej sebenar. 

Disini kami ingin menegaskan UiTM Insider tiada partner blog dan berdiri sendiri. Maka jika ada blog-blog yang didapati mempunyai artikel yang sama dengan UiTM Insider kami memohon jasa baik pembaca budiman semua untuk melaporkan kepada kami melalui media-media kami sama ada di media sosial ataupun di ruangan komen blog.

Jika anda bersetuju atau tidak bersetuju dengan artikel-artikel dari UiTM Insider maka cukupklah dengan sekadar berkongsi artikel tersebut di media sosial anda. Tidak perlu melakukan perbuatan jumud mencuri hasil penat lelah orang lain.

Akhir kata dari meja penulis, berikut merupakan ucapan selamat hari raya peribadi dari penulis-penulis kami.

"Selamat Hari Raya dan maaf zahir batin. Ayuh kita semua mengamalkan pemikiran terbuka namun masih mengikuti batas dalam Islam dan adat masyarakat timur. - Jacob Snowden.

"Selamat Hari Raya, Maaf zahir dan batin. - As Suffian.

"Semoga Hari Raya ini akan melahirkan pemikiran generasi yang lebih intelek tanpa melupakan daratan sebagai Hamba yang Maha Esa. Maaf zahir batin mohon restu dan berkat. - DD.

Thursday 1 August 2013

1 Ogos - Umum mengetahui yang Syiah ialah kesalahan akidah yang mampu menganggu-gugat keamanan umat Islam di Malaysia yang rata-ratanya mengamalkan Ahli Sunnah Waljamaah. Sebaik sahaja kerajaan negeri Kedah mewartakan pengharaman pengamalan Syiah ini. Isu Syiah mula hangat dibicarakan di media massa khususnya liputan Sinar Harian semalam yang telah menemu-bual Saudara Azraful, selaku Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar MPP Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azraful Azman berkata, walaupun Syiah difatwa haram, namun ia ada pengikutnya tersendiri.

Azraful berkata, pihaknya belum menerima aduan daripada mana-mana pihak mengenai wujudnya penyebaran Syiah di universiti itu.

“Jika ada, kita akan ambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab. Kita tahu ada gerakan yang cuba dibawa, tetapi bukan Syiah,” katanya. Berita penuh (sinarharian)

Kenyataan beliau yang menyatakan pihaknya masih belum menerima aduan daripada mana-mana pihak tentang kewujudan Syiah dan hanya akan mengambil tindakan selepas aduan dibuat menunjukkan sifat "Ambil Mudah" MPP yang hanya akan bakal bertindak sebaik sahaja aduan dibuat. Tanpa memikirkan langkah alternatif atau tindakan proaktif untuk mencegah pengaruh ini sebelum menular dalam kalangan pelajar UiTM.

Kenyataan ini juga telah mendapat respon yang buruk oleh sesetengah pelajar UiTM yang mengangap kenyataan ini seperti "Pahat dengan Tukul yang diketuk baru berbunyi"


Sedangkan bukan sahaja pelajar UiTM malahan hampir satu Malaya mengetahui tentang kewujudan Khalid Ismath yang merupakan bekas pelajar Fakulti Undang-undang yang secara terang dan nyata mengakui dirinya ialah pengamal amalan Syiah. 

Walaupun sudah bergelar bekas pelajar namun pengaruh yang dibawa Khalid Ismath masih menular dalam kalangan pelajar UiTM. Adakah MPP ada mengambil berat perkara ini atau hanya mengharapkan aduan, baru ingin bertindak?

Harap langkah proaktif boleh diambil kerana melalui sumber yang diperoleh Khalid Ismath masih menghubungi rakan-rakan seperjuangannya di UiTM yang masih bergelar pelajar untuk menyebarkan sayap pengaruhnya didalam UiTM. Perkara ini wajar dipandang serius dan bukannya dipandang enteng oleh MPP mahupun pentadbiran universiti.

MPP jangan terlalu mengharapkan aduan para pelajar kerana gerakan Khalid Ismath ini berbentuk sulit yang mustahil untuk dikesan pada peringkat awal. Sebaliknya apabila kesannya sudah menular dan berbisa pada ketika itulah baru aduan dibuat dan tindakan MPP selepas itu sudah terlambat dan tidak berguna.

Beringatlah sebelum terkena jangan terhantuk baru nak ternadah. Bukan hanya pada MPP malah seluruh warga UiTM juga wajib menghindari pengaruh Syiah ini sebelum ia menjadi duri di dalam daging yang memecah belahkan kita sesama Islam.